TULAR rakaman aksi berbahaya di lebuh raya apabila seorang wanita dengan selamba duduk di riba pemandu yang dipercayai suaminya.
Lebih membimbangkan kedua-dua mereka melakukan aksi ghairah dengan bercium mesra dalam keadaan kereta sedang bergerak.
Perkongsian video itu dibuat di Instagram The Last Hour News [Tonton Video] pada Khamis, namun tidak dinyatakan secara terperinci masa sebenar kejadian direkodkan.
Difahamkan insiden berlaku di Nagpur, India apabila pasangan berkenaan dilihat berpelukan, berciuman di leher dan mulut sambil lagu Ude Dil Befikre daripada filem Befikre berkumandang di radio.
Tindakan mereka bukan sahaja disifatkan tidak bertanggungjawab, malah turut membahayakan nyawa sendiri serta penumpang di bahagian belakang dan pengguna jalan raya lain.
Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan mendesak agar pasangan itu dikenakan tindakan tegas termasuk denda berat kerana sanggup mempertaruhkan keselamatan awam demi menghasilkan content (kandungan) untuk media sosial.
"Video itu nampak mengejutkan bagi kita, tetapi perkara seperti ini dianggap biasa bagi generasi sekarang. Mereka tidak melihat sebarang kesalahan dalam perbuatan tersebut.
"Tolong ambil tindakan terhadap pasangan ini," komen beberapa netizen pada hantaran tersebut.