CINTA lama berputik semula membawa padah apabila seorang lelaki dikenakan hukuman adat selepas melarikan bekas kekasihnya yang sudah bersuami.
Lelaki berkenaan, Muhari, 45, membawa lari Susanti, 39, sebelum mereka tinggal bersama selama hampir dua bulan di Jambi, Indonesia.
Kejadian yang menggemparkan masyarakat setempat itu berlaku di Desa Kampung Delima, Rejang Lebong.
Muhari dijatuhi hukuman adat sebanyak 100 sebatan yang dilaksanakan secara terbuka di Balai Desa Kampung Delima.
Selain itu, dia turut diwajibkan membayar denda 20 juta Rupiah (RM5,125) sebagai pampasan kepada keluarga mangsa.
Menurut Ketua Badan Musyawarah Adat (BMA) Rejang Lebong, Ahmad Faizir, hukuman itu merupakan satu bentuk keadilan pemulihan (restorative justice).
Suami Susanti, Sumiran, memilih untuk mereka berdua menjalani hukuman adat berbanding membawa kes ke pihak berkuasa.
Dia juga mengambil keputusan berpisah dan merelakan isterinya bersama lelaki berkenaan.
Buat masa ini, Muhari masih perlu menunggu tempoh idah Susanti sebelum mereka boleh berkahwin secara sah.
Hukuman adat bermaksud bentuk hukuman atau denda mengikut peraturan dan undang-undang tradisi sesuatu masyarakat atau kaum. -Agensi