SEORANG jururawat tidak menyangka hasrat untuk membantu mangsa kemalangan bertukar menjadi detik paling menyayat hati dalam hidupnya apabila menyedari mangsa terbabit merupakan teman lelakinya sendiri.
Kejadian tragis itu berlaku pada Sabtu lalu di wilayah Ayutthaya, Thailand.
Mangsa yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero berwarna putih dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.
Akibat rempuhan itu, bahagian hadapan kenderaan remuk teruk dan pemandu terperangkap di dalam, memaksa pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas untuk memotong dan mengeluarkan mangsa.
Menurut laporan portal tempatan ThaiRath, ketika usaha menyelamat dijalankan, seorang jururawat yang kebetulan melalui kawasan itu memberhentikan kenderaannya untuk membantu.
Apabila menyedari mangsa yang terbunuh merupakan teman lelakinya, jururawat berkenaan tidak dapat menahan tangisan.
Difahamkan, jururawat tersebut baru sahaja tamat syif kerja di hospital dan teman lelakinya telah datang menjemputnya untuk pulang bersama.
Namun, mereka memandu pulang secara berasingan dan lelaki itu dipercayai bergerak kira-kira lima minit lebih awal daripadanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Walaupun menyedari teman lelakinya sudah tidak sedarkan diri, jururawat berkenaan yang menaiki kenderaan penyelamat bertungkus-lumus memberikan bantuan pernafasan sepanjang perjalanan, berharap nyawa insan kesayangannya dapat diselamatkan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Institut Sains Forensik Pusat di wilayah Pathum Thani untuk proses bedah siasat. -Agensi