SEORANG remaja yang disangka sudah meninggal dunia akibat kemalangan mengejutkan ramai apabila 'mayatnya' tiba-tiba bergerak dan batuk ketika upacara pengebumian.
Mangsa, Bhau Lachke, 19, mengalami kecederaan parah selepas terbabit kemalangan dan dibawa ke sebuah hospital swasta.
Kejadian berlaku di Trimbakeshwar Taluka, Maharashtra, India.
Doktor memaklumkan Lachke berada dalam keadaan 'mati otak' (brain-dead) dengan hampir tiada peluang hidup, menyebabkan keluarga membuat persiapan pengebumian.
Namun, ketika majlis bermula, dia tiba-tiba menunjukkan tanda-tanda hayat masih ada sebelum segera dihantar semula ke hospital.
Remaja itu kini dalam keadaan kritikal dengan bantuan mesin ventilator.
Keluarganya menuduh pihak hospital tersilap ketika melakukan diagnosis keadaan pesakit dan mendakwa mereka tersalah maklum bahawa Lachke sudah meninggal dunia.
Pihak hospital bagaimanapun menafikan telah mengisytiharkan kematiannya dan menjelaskan istilah 'mati otak' sering menimbulkan salah faham.
Kes ini kini dalam siasatan pihak berkuasa, sementara keluarga masih belum memutuskan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak. -Agensi