SEORANG wanita ditahan polis selepas disyaki meracun suaminya sebelum menanam mayat mangsa di belakang rumah mereka.
Lebih mengejutkan, Sallapuri, 37, turut membuat laporan kononnya suaminya, Venkataswamy, 45, hilang selepas keluar rumah pada malam kejadian.
Kejadian berlaku di ChikkaHejjur, Hunsur, berhampiran sempadan Nagarahole Tiger Reserve (NTR) di India.
Menurut polis daerah Hunsur, Sallapuri memberi keterangan bahawa suaminya tidak pulang selepas keluar rumah sekitar pukul 10.30 malam untuk menyuluh kawasan selepas terdengar bunyi aneh.
Wanita itu cuba menimbulkan persepsi bahawa kehilangan suaminya berpunca daripada serangan harimau kerana kampung mereka terletak berdekatan kawasan hutan.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati terdapat kesan tanah digali di belakang rumah mereka, sekali gus menimbulkan syak.
Hasil siasatan lanjut mendapati Sallapuri dipercayai menyajikan bebola ragi yang dicampur bahan beracun kepada suaminya sebelum mayatnya ditanam.
Difahamkan, perbuatan tersebut dilakukan kerana mahu menuntut pampasan atas kematian akibat serangan haiwan liar, dengan tujuan melangsaikan hutang keluarga. -Agensi