suria

Pelajar universiti maut terjun dari tingkat 4 pusat beli-belah, cuba lari selepas kantoi rakam ‘bawah kain’ pengunjung wanita

Pengunjung mengerumuni lokasi kejadian seorang pelajar universiti terjatuh di tingkat bawah pusat beli-belah di Central Westgate, Nonthaburi, pada Jumaat.

SEORANG pelajar universiti berusia 21 tahun meninggal dunia selepas terjun dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah, dalam cubaan untuk melarikan diri daripada ditahan selepas didakwa merakam video 'bawah kain' seorang wanita.

Kejadian berlaku sekitar pukul 7.40 malam, 12 September lalu di pusat beli-belah Central Westgate, Nonthaburi, Thailand, apabila seorang wanita muda menyedari perbuatan suspek yang dikatakan menggunakan sebuah iPad untuk merakam secara sembunyi di bawah skirt dipakainya.

Wanita tersebut segera meminta bantuan, menyebabkan anggota keselamatan dan pihak polis bertindak pantas menahan suspek.

Menurut saksi, suspek dilihat panik selepas menyedari perbuatannya terkantoi.

Dia membaling begnya ke bawah sebelum bertindak melompat melepasi pagar keselamatan. 

Mangsa terjatuh ke tingkat bawah dan mengalami kecederaan parah di kepala serta patah pada bahagian buku lali.

Dia dikejarkan ke Hospital Kasemrad Rattanatibeth dan dilaporkan dalam keadaan kritikal. 

Namun, suspek disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya, demikian menurut Ketua Polis Bang Yai, Kolonel Siriphop Anusiri.

Dalam perkembangan sama, ibu suspek mendedahkan kepada media tempatan bahawa anaknya sempat menghubunginya sebelum insiden tersebut untuk mengucapkan selamat tinggal. 

Dalam panggilan itu, suspek mengaku merakam video bawah kain wanita dan mendakwa dirinya telah dipaksa oleh sebuah kumpulan dalam talian rahsia. 

Kumpulan tersebut dikatakan memeras ugutnya untuk mendapatkan imej berunsur lucah.

Polis memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan susulan dakwaan berkenaan. -Agensi

Artikel Lain