suria

12 pelancong Malaysia cedera, van terhumban dalam gaung di Tamil Nadu

Keadaan van dinaiki 12 rakyat Malaysia yang remuk selepas terjunam ke dalam gaung. -Foto DTNext

SERAMAI 12 rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas van yang mereka naiki terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam hampir 100 kaki (30 meter) di kawasan pergunungan Kodaikanal, Tamil Nadu, India.

Menurut portal berita tempatan DTNext, kejadian berlaku pada Ahad ketika kumpulan pelancong itu dalam perjalanan pulang selepas mengunjungi Kuil Palani.

Pemandu van dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas dari jalan raya dan terjunam ke dalam gaung.

Ia kemudian merempuh sebatang pokok, sekali gus menghalangnya daripada terjunam lebih jauh ke bawah.

"Saksi berkata, penumpang menjerit meminta tolong ketika van itu mula hilang kawalan. 

"Penduduk tempatan segera ke lokasi, menuruni gaung dan membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam van yang remuk," lapor DTNext.

Kesemua 12 mangsa telah dikejarkan ke hospital kerajaan di Kodaikanal untuk rawatan lanjut.

Keadaan mereka dilaporkan serius namun stabil setakat ini. -The Star

Artikel Lain