SEORANG murid lelaki Pendidikan Awal Kanak-Kanak mengalami kecederaan pada kemaluannya selepas digunting oleh rakan ketika terlibat dalam aktiviti yang dijalankan di dalam kelas.
Kejadian berlaku sebuah sekolah di Solo, Indonesia pada 11 September lalu.
Menurut Ketua Pejabat Pendidikan Kota Solo, Dwi Ariyatno, kejadian berlaku ketika pelajar berusia sekitar empat hingga lima tahun itu menyertai aktiviti menggunting dan menampal di bawah seliaan guru.
Namun, sewaktu guru membawa murid lain mencuci tangan, seorang pelajar mengambil gunting dan mencederakan kemaluan rakannya.
"Kejadian berlaku di dalam kelas. Pelajar terbabit memberitahu dia berbuat demikian kerana mempraktikkan amalan berkhatan," jelas Dwi.
Mangsa segera dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta telah dibenarkan keluar.
Namun begitu, mangsa masih berada di bawah pemantauan Jabatan Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak Kota Surakarta bersama beberapa agensi berkaitan.
Dwi turut memaklumkan bahawa pihak sekolah telah mengadakan sesi rundingan antara keluarga kedua-dua murid.
Pejabat Pendidikan kini sedang menilai semula prosedur keselamatan di sekolah, khususnya berkaitan penyimpanan peralatan tajam yang berisiko. -Agensi