SEORANG wanita ditahan selepas didakwa menolak anak tirinya yang berusia enam tahun dari bangunan kediaman tiga tingkat hingga mati.
Kejadian itu berlaku pada 27 Ogos lalu dan pada awalnya dilaporkan sebagai kemalangan oleh bapa kanak-kanak perempuan tersebut.
Menurut bapa mangsa, anaknya terjatuh secara tidak sengaja ketika bermain di kaki lima rumah mereka yang terletak di Bidar, Karnataka, India.
Namun pada 12 September, seorang jiran tampil menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan wanita dikenali sebagai Radha iaitu ibu tiri kanak-kanak tersebut, memujuk mangsa ke kaki lima dengan alasan untuk bermain.
Rakaman itu jelas memperlihatkan Radha berdiri di atas kerusi sebelum menolak kanak-kanak itu ke bawah, kemudian bergegas masuk ke dalam rumah.
Wanita tersebut dipercayai bertindak demikian kerana tidak puas hati hubungan rapat antara anak tirinya itu dengan suaminya.
Susulan rakaman tersebut, polis telah menahan Radha pada Ahad lalu untuk siasatan lanjut. -Agensi