SEORANG bayi perempuan berusia dua bulan maut dalam satu insiden menyayat hati selepas diserang seekor anjing peliharaan baka Pitbull.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.40 petang Selasa, di sebuah rumah di daerah Nong Chang, wilayah Uthai Thani, utara Thailand.
Ketika kejadian ibu bapa mangsa sedang mengemas barangan terbuang di rumah tersebut.
Ketua Polis Nong Chang, Kolonel Phet Kamphaeng Yuyot berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh Hospital Nong Chang, selepas bayi tersebut dibawa dalam keadaan cedera parah.
Ujarnya, siasatan polis di lokasi menjumpai kesan darah serta seretan sejauh enam meter dari garaj ke sebuah parit berhampiran.
Sebuah kereta sorong bayi turut ditemukan berdekatan bersama mainan yang berlumuran darah.
Menurut saksi kejadian, si suami Dusit Salee, seorang peniaga barangan kitar semula, dan isterinya Kanthima Anantrak membawa bayi perempuan mereka ke rumah seorang individu semasa membantu membersihkan barang-barang terbuang.
Bayi tersebut diletakkan di dalam kereta sorong di garaj sementara ibu bapanya bekerja.
"Anjing itu menghidu-hidu sekitar kereta sorong sebelum tiba-tiba menggigit dan mengheret bayi tersebut ke arah parit. Kami percaya anjing itu menyangkakan bayi itu adalah mainan kerana dia sedang menangis," kata saksi yang melihat kejadian.
Portal tempatan, Thairath melaporkan, bapa mangsa berjaya mengejar dan mengambil semula bayinya daripada anjing itu, sebelum membawanya segera ke hospital.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan bayi itu tidak dapat diselamatkan akibat kecederaan parah.
Atas faktor keselamatan, anjing berkenaan diarahkan supaya dikurung dan berada di bawah pengawasan ketat pemiliknya, sementara siasatan lanjut dilakukan.
"Kami akan mengambil tindakan undang-undang susulan hasil siasatan," kata Kolonel Phet. -Agensi