SEORANG lelaki berusia 59 tahun bertindak di luar kawalan apabila menikam anak saudaranya hingga maut, angkara hilang sabar akibat dimaki mangsa.
Menurut polis, kejadian yang berlaku di Tahuna, dekat Sangihe, Sulawesi Utara pada Ahad lalu bermula apabila mangsa yang berusia 40 tahun, dipercayai berada dalam keadaan mabuk mula memaki suspek.
Situasi tersebut bertukar menjadi pergaduhan sebelum berlaku insiden berdarah itu.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sangihe, Inspektor Pertama Stefi Sumolang, mangsa ditikam oleh suspek menggunakan pisau dapur.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Liun Kendage di Tahuna, namun disahkan meninggal dunia akibat luka tikaman di bahagian bawah tulang dada dan pinggang.
"Motif suspek membunuh mangsa adalah kerana mangsa meminum arak, memaki hamun, menghina dan menimbulkan provokasi untuk melawan," ujar Stefi lagi.
Sejurus kejadian, suspek melarikan diri sebelum menyerah kepada pihak polis tidak lama kemudian.
Suspek kini ditahan di Jabatan Polis Sangihe untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Perkara 338 Kanun Jenayah Indonesia (KUHP), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika disabitkan bersalah. -Agensi