SEORANG penjual sayur nyaris maut selepas mengalami jangkitan darah serius akibat menggunakan rawatan tradisional untuk merawat kayap.
Mangsa yang berusia 39 tahun dan hanya dikenali sebagai A berkata, gejala bermula awal bulan ini apabila ruam kayap muncul di leher dan belakang telinganya.
Pada mulanya dia mencuba ubat farmasi biasa, namun beralih kepada perubatan tradisional atas nasihat rakan.
Rawatan tersebut melibatkan kunyahan daun sirih disertai bacaan jampi, kemudian adunan itu disembur ke kawasan terjejas.
"Pada petang harinya, saya mengalami sakit-sakit di seluruh badan dan demam yang teruk," kata wanita yang berasal dari Prachuap Khiri Khan, Thailand itu.
Selama seminggu dia hanya bergantung kepada ubat penahan sakit, sebelum akhirnya keadaan menjadi semakin parah dengan lepuh merebak ke seluruh badan.
Ketika ke klinik, kakinya sudah bengkak dan kemerahan, dengan kakitangan klinik enggan merawat dan menasihatkannya segera ke hospital.
Dia dikejarkan ke Hospital Prachuap Khiri Khan, di mana doktor mengesahkannya mengalami jangkitan darah teruk.
"Jika saya lambat sedikit, mungkin saya tidak sempat diselamatkan," katanya.
Selepas seminggu rawatan, keadaannya bertambah baik dan lepuh mula mengering.
"Ini satu pengajaran mahal, hampir meragut nyawa saya kerana percaya kepada rawatan tidak sahih. Bagi yang menghidap kayap, pergilah ke hospital. Rawatan moden adalah tepat, selamat dan berkesan," katanya kepada media tempatan. -Agensi