KEHILANGAN seorang pelajar perempuan selama 20 hari akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya dalam keadaan mengerikan, pada Selasa.
Mayat pelajar Kelas 7 dari sekolah di Shyampahari, Bengal Barat, India yang dikerat kepada beberapa bahagian dan dimasukkan ke dalam karung guni itu ditemukan di kawasan berair berhampiran sebuah kampung di Birbhum.
Dilaporkan, mangsa meninggalkan rumah pada 28 Ogos lalu untuk menghadiri kelas tuisyen namun tidak pulang, menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.
Menerusi laporan tersebut, mereka menuduh seorang guru yang dikenali sebagai Manoj Kumar Pal, yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kehilangan mangsa.
"Ibu bapa kanak-kanak perempuan tersebut membuat aduan kerana mendakwa guru itu telah beberapa kali menyentuh anak mereka secara tidak wajar.
"Ia berdasarkan cerita mangsa beberapa kali sebelum ini kepada ibunya.
"Kami kemudian menahan guru berkenaan, dan selepas disoal siasat,dia mengaku menculik dan membunuh kanak-kanak perempuan tersebut," kata seorang pegawai polis.
Polis berkata siasatan lanjut kini tertumpu kepada motif pembunuhan dan sebarang kesan penderaan fizikal sebelum kematian mangsa.
Suspek kini diletakkan dalam tahanan polis selama sembilan hari untuk soal siasat lanjut. -Agensi