suria

Kedai mainan 20 meter dari sekolah 'scam' murid, tawar khidmat ansuran bulanan... Hutang selesai, tak serah barang

Antara mainan yang dijual dengan bayaran ansuran di kedai mainan berdekatan sekolah. -Foto Facebook

SEKUMPULAN ibu bapa tampil membuat aduan terhadap sebuah kedai mainan berhampiran sekolah kerana didakwa memperdaya lebih 50 murid untuk membeli permainan secara ansuran.

Menurut mereka, terdapat murid yang telah membuat bayaran penuh namun tidak menerima mainan yang dijanjikan, manakala sebahagian lagi menerima barangan berkualiti rendah yang cepat rosak.

Kejadian itu dilapor berlaku di wilayah Khon Kaen, Thailand dengan jarak kedai dan sekolah sekitar 20 meter.

Insiden itu terbongkar apabila guru sekolah itu mengiringi lebih 50 murid berjumpa pengarah pada Jumaat selepas menerima laporan kedai terbabit menjual anak patung dan permainan biasa pada harga tinggi melalui skim bayaran kredit.

Seorang murid menceritakan bahawa dia menyimpan wang belanja harian 40 baht (RM5.10) untuk membayar 20 baht (RM2.55) sehari bagi sebuah anak patung berharga 500 baht (RM63.50) sejak Ogos lalu. 

Namun, setelah selesai membuat bayaran, dia diminta beredar oleh penjual dengan alasan mainan itu telah diserahkan dan menyebabkan murid tersebut berasa kecewa serta tertipu.

Pengarah sekolah memaklumkan, guru sedang mengenal pasti murid terlibat dan akan bekerjasama dengan ibu bapa untuk menentukan bentuk sokongan yang diperlukan. 

Laporan polis dibuat di Balai Polis Muang Khon Kaen dengan ditemani pihak sekolah.

Dia menegaskan tindakan peniaga itu boleh menjejaskan murid serta mungkin menyalahi undang-undang, justeru satu amaran rasmi akan dikeluarkan kepada pemilik kedai di sekitar kawasan sekolah.

Sementara itu, pemilik kedai mengakui menawarkan pembayaran ansuran dengan alasan sesetengah mainan berharga ratusan baht terlalu mahal untuk dibeli sekali gus. 

Namun katanya, wang boleh dipulangkan sekiranya ibu bapa tidak berpuas hati, dan murid tidak lagi dibenarkan membeli secara kredit selepas ini. -Agensi

Artikel Lain