suria

Lelaki maut lepas buat pembedahan besarkan alat sulit

Pembedahan perlu mengikut prosedur betul sebagai langkah keselamatan. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 50 tahun dilaporkan meninggal dunia hanya beberapa jam selepas menjalani prosedur kosmetik membesarkan alat sulit di sebuah klinik estetik, pada Selasa lalu.

Mangsa, difahamkan membelanjakan lebih AS$13,300 (RM55,900) untuk pembedahan tersebut yang dijalankan di sebuah klinik di daerah Zhongshan, Taipei, Taiwan.

Menurut laporan media tempatan, lelaki berkenaan dimasukkan ke dewan pembedahan dan diberi bius sekitar pukul 9 pagi dan selesai sebelum tengah hari. 

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan rutin pada pukul 7 malam, pekerja klinik mendapati dia sudah tidak bernafas serta tiada denyutan nadi.

Paramedik yang dipanggil mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi, sekali gus mengejutkan ahli keluarganya yang bergegas ke klinik berkenaan. 

Difahamkan, adik perempuan mangsa turut mempersoalkan tahap keselamatan prosedur serta kelengkapan klinik tersebut.

Susulan kejadian, pihak polis menahan pakar bedah terbabit yang hanya dikenali dengan nama keluarga Ding, serta seorang jururawat untuk siasatan. 

Bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian sebenar.

Kes ini mencuri perhatian ramai kerana doktor terbabit, Ding, pernah disabitkan kesalahan membunuh tanpa niat selepas pesakit meninggal dunia dalam prosedur implan zakar.

Dia juga dikaitkan dengan beberapa saman melibatkan pembedahan payudara, tuduhan penipuan dan gangguan seksual, selain pernah menukar nama sekurang-kurangnya dua kali. -Agensi

Artikel Lain