suria

Bapa terkejut, notifikasi emel dedahkan rakaman anak gadis dirogol pakcik sendiri

Mangsa serangan seksual mengalami trauma berpanjangan. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki ditahan polis selepas disyaki memperkosa anak saudaranya sendiri yang berusia 16 tahun.

Perbuatan keji suspek berusia 36 tahun itu terbongkar selepas bapa mangsa menemui emel yang mengandungi rakaman video perbuatan jenayah tersebut. 

Video berkenaan dirakam sendiri oleh suspek menggunakan telefon bimbit mangsa dengan kejadian dilapor berlaku di Jakarta, Indonesia.

Ketua Bahagian Humas Polres Metro Jakarta Timur, AKP Teta, berkata suspek mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ibu mangsa dan kerap menginap di rumah keluarga tersebut. 

Lelaki itu didakwa mengambil kesempatan daripada kebaikan keluarga berkenaan untuk melakukan serangan seksual.

“Suspek sering makan di restoran milik ibu bapa mangsa. Disebabkan mempunyai hubungan keluarga, ibu bapa mangsa membenarkan dia menumpang di rumah. 

"Namun kesempatan itu digunakan untuk memperkosa mangsa,” jelas Teta.

Ketua Unit PPA Polres Metro Jakarta Timur, AKP Sri Yatmini, pula menjelaskan kejadian terbongkar secara tidak sengaja selepas bapa mangsa melihat notifikasi emel yang disambungkan kepada telefon anaknya.

“Semasa kejadian, suspek merakam perbuatannya dan telefon mangsa disambungkan dengan emel.

"Jadi rakaman itu secara automatik muncul dalam notifikasi yang juga boleh dilihat oleh bapanya. Dari situlah bapa mangsa menemui bukti,” katanya.

Menurut polis, kejadian berlaku ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Suspek turut mengugut mangsa supaya tidak memberitahu sesiapa dengan ancaman akan dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya membocorkan perkara itu.

Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada Selasa dan suspek ditangkap pada hari yang sama.

Suspek kini berdepan tuduhan mengikut Pasal 76D jo Pasal 81 Undang-Undang No. 17 Tahun 2016 tentang Perlindungan Anak. 

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, ditambah sepertiga hukuman asal memandangkan statusnya sebagai ahli keluarga mangsa.-Agensi

Artikel Lain