suria

Israel terus gempur Gaza City...Kanak-kanak antara mangsa serangan di sekolah

Keadaan Gaza City selepas diserang tentera Israel pada Jumaat. -Foto Al Jazeera

DIANGGARKAN 11 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh apabila tentera Israel melancarkan serangan ke atas sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di Gaza City, pada Jumaat.

Serangan berterusan itu berlaku ketika Israel meningkatkan operasi besar-besaran di bandar berkenaan sejak Ogos lalu. 

Pertahanan Awam Palestin memaklumkan hampir separuh daripada populasi Gaza City, iaitu kira-kira 450,000 orang telah melarikan diri ke selatan bagi mencari perlindungan.

Imej yang dirakam media antarabangsa memperlihatkan kepulan asap dan api memenuhi ruang udara Gaza City, manakala penduduk yang hilang tempat tinggal terus berpusu-pusu meninggalkan kediaman mereka selepas diarahkan tentera Israel.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menegaskan Gaza kini mengalami tahap kematian dan kemusnahan paling buruk yang pernah disaksikannya sepanjang hayat.

Dia menyeru komuniti antarabangsa supaya tidak tunduk terhadap tekanan Israel.

Sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 65,141 nyawa dan mencederakan lebih 165,925 orang. 

Ribuan lagi mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Sebagai perbandingan, dalam serangan pejuang Palestin ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, seramai 1,139 orang terbunuh manakala sekitar 200 orang dijadikan tebusan.-Agensi

Artikel Lain