SEORANG budak lelaki berusia dua tahun terpaksa bertahan hidup sendirian selama beberapa hari hanya dengan makan jeli, snek, sepotong labu dan minuman herba selepas ibunya meninggal dunia di rumah sewa mereka.
Tragedi itu berlaku pada 17 Ogos lalu apabila rakan kepada ibu kanak-kanak itu memeriksa keadaan wanita berusia 28 tahun tersebut di kediamannya setelah gagal dihubungi selama beberapa hari.
Polis kemudian menemukan wanita yang dikenali sebagai Zheng itu dalam keadaan tidak bernyawa, manakala anaknya, digelar Mianmian ditemukan dalam keadaan kotor hanya memakai lampin dan baju nipis.
Kejadian berlaku di daerah Cangnan, Wenzhou di China.
Sepanjang tempoh itu, kanak-kanak malang berkenaan bergantung kepada makanan ringan yang berselerak di bilik ibunya.
Seorang jiran yang berasa simpati terus memandikan Mianmian, menyediakan makanan panas serta pakaian bersih sebelum dia dibawa ke hospital.
Menurut laporan media tempatan, Zheng menghadapi pelbagai kesukaran hidup dengan kedua ibu bapanya menghidap kecacatan intelektual dan bergantung pada bantuan kebajikan, manakala dia dan adiknya dibesarkan oleh nenek.
Zheng juga mempunyai tiga anak daripada tiga hubungan berbeza, namun dua anak terdahulu dipelihara oleh bapa masing-masing.
Mianmian ialah anak hasil hubungan Zheng dengan seorang lelaki yang dikenalinya secara dalam talian, tetapi pasangan itu tidak pernah mendaftarkan perkahwinan.
Hubungan mereka renggang selepas kelahiran Mianmian pada Februari 2023, malah komunikasi terakhir berlaku pada Februari lalu sebelum Zheng memutuskan semua hubungan.
Ahli keluarga percaya kematiannya berpunca daripada penyakit mendadak, memandangkan Zheng pernah berkongsi masalah tekanan darah serta rawatan suntikan yang diterimanya.
Mereka menolak andaian kononnya dia bertindak meninggalkan anak dengan sengaja.
“Dia sangat rapat dengan anak bongsu ini kerana tidak dibenarkan menjaga anak-anak sebelumnya. Dia pernah berkata akan bergantung kepada Mianmian apabila tua nanti,” kata seorang saudara, Chen Lin.
Bedah siasat masih dijalankan untuk mengesahkan punca kematian, manakala Mianmian kini berada dalam jagaan bapanya yang mempunyai lima orang anak untuk ditanggung.-Agensi