suria

Pekerja tol bunuh bos lepas ditegur datang lewat, sanggup ajak rakan bantu buat jenayah

Sifat amarah boleh mengakibatnya individu tidak bersalah maut. -Gambar hiasan

SEORANG penolong pengurus sebuah plaza tol maut selepas dipukul dan ditikam hingga mati oleh dua pekerja serta seorang rakan mereka, hanya kerana membuat teguran lewat hadir bertugas.

Mangsa yang dikenali sebagai Arvind Pandey diserang pada Khamis lalu, sebelum mayatnya ditemukan orang ramai pada keesokan harinya.

Kejadian berlaku di kawasan Chhapar di India.

Menurut polis, kejadian berlaku sekitar 9 malam apabila dua pekerja, Shubham Chaudhary dan Shekhar, lewat masuk kerja.

Pandey menegur mereka, lalu kedua-duanya bertindak kasar dan turut menghina pengurus tol, Mukesh Chauhan, yang cuba menenangkan keadaan. 

Kedua-dua suspek kemudian meninggalkan lokasi, sebelum pada pukul 2 pagi mereka kembali ke plaza tol bersama seorang rakan dikenali sebagai Pradeep.

Mereka menceroboh masuk ke rumah tetamu tempat Pandey tidur dan menyerangnya dengan kayu.

Apabila kakitangan lain cuba menghalang, kumpulan itu mengacukan pistol sebelum mengheret Pandey masuk ke dalam kereta.

Dalam perjalanan menuju ke Meerut, mangsa terus dipukul sebelum ditikam hingga mati di dalam kenderaan. 

Mayatnya ditemukan dengan kesan tikaman berulang kali di kawasan semak sekitar pukul 11 pagi Jumaat, dan dihantar untuk bedah siasat.

Polis mendedahkan Chaudhary dan Shekhar memang sering lewat hadir ke tempat kerja serta pernah ditangkap minum arak ketika bertugas.

Bertindak atas maklumat, pihak berkuasa menjejaki mereka di persimpangan Rampur, Jalan Panipat-Khatima, pada malam Jumaat. 

Ketika polis cuba menahan, kumpulan itu melepaskan tembakan dan dalam serangan balas, kedua-dua mereka ditembak di kaki sebelum ditahan, manakala Pradeep berjaya melarikan diri.-Agensi

Artikel Lain