SEORANG nenek didakwa membunuh cucu perempuannya yang berusia empat bulan kerana kecewa apabila tidak mendapat cucu lelaki, menurut pihak polis.
Suspek, Meenabai Ashware dari Kampung Barkhedi, daerah Narmadapuram dekat Madhya Pradesh, India, didakwa membunuh bayi bernama Kritika dengan menyumbat tuala ke dalam mulutnya ketika mangsa sedang tidur.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu itu, ibu mangsa sedang membasuh pinggan mangkuk di bahagian belakang rumah.
Selepas membunuh cucunya, Meenabai dipercayai membungkus mayat bayi itu dan membuangnya ke dalam sebuah perigi kering berhampiran rumah.
Kehilangan mangsa disedari oleh ahli keluarga sebelum operasi pencarian dilakukan oleh penduduk kampung dan pihak polis.
Bapa mangsa yang sedang bekerja ketika kejadian berkata, ibunya kemudian mengaku melakukan perbuatan itu selepas didesak.
"Saya tak tahu sama ada dia bertindak kerana takut atau sebab lain... Saya cuma mahu keadilan ditegakkan," katanya.
Menurut Ketua Balai Polis Rajesh Dubey, hasil bedah siasat menemui sehelai tuala sepanjang 24 sentimeter (cm) tersumbat dalam mulut mangsa, menyebabkan kematian akibat sesak nafas.
"Sejak awal, siasatan menjurus kepada seseorang yang rapat dengan keluarga. Selepas disoal siasat, suspek mengaku dan kini telah ditahan. Dia akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.
Polis turut mengesahkan motif kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap kelahiran cucu perempuan, kerana keluarga tersebut telah pun mempunyai seorang cucu perempuan sebelum ini. -Agensi