PERDANA Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, mengumumkan negaranya akan menyertai Itali dalam menghantar kapal perang tentera laut bagi melindungi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pengumuman pada Rabu itu dibuat susulan serangan dron terhadap salah sebuah kapal misi tersebut di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Sanchez berkata demikian dalam satu sidang media di New York, sempena kehadirannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kerajaan Sepanyol menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti dihormati, dan hak rakyat kami untuk belayar secara selamat di Laut Mediterranean perlu dijamin.
"Sepanyol akan menghantar sebuah kapal tentera laut dari Cartagena pada Khamis, untuk membantu flotilla dan menjalankan operasi menyelamat sekiranya diperlukan," tegasnya.
Dalam kejadian terbaharu yang dilaporkan berlaku pada malam Selasa, salah sebuah kapal dalam flotilla diserang oleh 12 dron di perairan antarabangsa, kira-kira 30 batu nautika (56 kilometer) dari pulau Gavdos, Greece.
Global Sumud Flotilla melibatkan 50 buah kapal dari pelbagai negara dengan digerakkan atas semangat kemanusiaan dan solidariti terhadap rakyat Gaza yang masih berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan.
Antara yang terlibat dalam misi itu termasuk para peguam, aktivis, dan tokoh iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg. -Agensi