suria

Niat nak bantu warga emas melintas jalan... Sekali 'makan' penampar

Seorang wanita ditampar kerana mahu membantu warga emas melintas jalan.

NIAT murni seorang wanita yang berhenti untuk membantu seorang lelaki tua melintas jalan berakhir dengan pengalaman mengejutkan apabila dia ditampar dengan kuat sehingga cermin matanya tercampak.

Kejadian itu berlaku Ketika lelaki berusia sekitar 70 hingga 80 tahun dilihat membawa dua beg berat sambil berjalan terhuyung-hayang di tengah jalan tanpa menggunakan lintasan pejalan kaki.

Beberapa kenderaan tidak berhenti malah melalui rapat di sisinya, menyebabkan perjalanannya makin sukar.

Atas dasar prihatin, wanita terbabit segera keluar dari kereta, berlari ke arah lelaki itu dan cuba memegangnya untuk membantu melintas. 

Namun, sebaik saja dia menghulurkan bantuan, lelaki tersebut tiba-tiba berpaling lalu menampar wajahnya sehingga cermin mata wanita itu tercampak ke tanah.

Insiden itu berlaku pada 12 September lalu di Lanzhou, wilayah Gansu di China dan rakaman kejadian tular selepas pemandu kereta berkongsi video di media sosial.

Rakaman menunjukkan wanita itu terkejut, kemudian mengambil kembali cermin matanya dengan wajah bingung sebelum kembali ke kereta.

Dia dan suaminya kemudian membuat laporan polis yang kemudiannya pihak berkuasa berjaya mengarahkan lelaki itu memohon maaf.-Agensi

Artikel Lain