suria

Pelajar kejuruteraan maut dibuli... Mangsa sempat rakam video minta bantuan, dipaksa minum alkohol

Impak buli boleh mengakibatkan kematian. -Gambar hiasan

SEORANG pelajar kejuruteraan ditemui meninggal dunia di bilik asramanya selepas dipercayai menjadi mangsa buli dan pemerasan wang.

Sebelum kematiannya, mangsa berusia 22 tahun sempat merakam video merayu meminta bantuan dengan mendakwa dipukul serta dipaksa membayar sejumlah wang kepada pelajar senior.

Kejadian berlaku di Siddharth Engineering College di Telangana, India pada Isnin.

Mangsa yang dikenali sebagai Jadav Sai Teja telah dibawa ke bar, dipaksa minum alkohol dan kemudian diminta menyerahkan wang tunai berjumlah Rs10,000 (RM560). 

Keluarga mangsa yang datang dari kampung halaman sejauh hampir 300 kilometer (km) menuntut siasatan menyeluruh dijalankan, selain menuntut keadilan untuk anak mereka.

Polis telah membuka kertas siasatan dan kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), video yang dirakam mangsa serta keterangan rakan sebilik dan kakitangan kolej berkenaan.

Antara persoalan yang turut disiasat ialah sama ada pihak jawatankuasa anti-buli kolej pernah menerima aduan terdahulu tetapi gagal mengambil tindakan.

Kematian Sai Teja mencetuskan perdebatan hangat di media sosial India dengan ramai menuntut agar pihak bertanggungjawab dikenakan hukuman berat.-Agensi

Artikel Lain