SUMBER terdekat dengan pasangan yang dirakam kamera ketika konsert kumpulan terkenal Coldplay tampil menafikan wujudnya hubungan sulit di antara mereka.
Insiden itu berlaku apabila penyanyi Coldplay, Chris Martin, berseloroh selepas wajah pasangan berkenaan dipaparkan di skrin besar menerusi segmen kiss cam pada konsert di Gillette Stadium, Amerika Syarikat pada 16 Julai lalu.
Pasangan tersebut kemudian dikenal pasti sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astronomer, Andy Byron, dan Ketua Sumber Manusia syarikat itu, Kristin Cabot.
Rakaman menunjukkan mereka berpelukan mesra sebelum cuba menyorok daripada kamera, sekali gus mencetuskan spekulasi orang ramai.
Situasi menjadi lebih hangat apabila warganet mendedahkan Andy masih bergelar suami kepada Megan Kerrigan Byron.
ARTIKEL BERKAITAN: Tekanan emosi gara-gara video mesra tular... Byron pertimbang fail saman terhadap Coldplay, penganjur
ARTIKEL BERKAITAN: Chris Martin tak sengaja kantoikan pasangan curang di konsert Coldplay
Menurut sumber rapat kepada Kristin, tanggapan yang tersebar itu sama sekali tidak benar.
“Kristin dan Andy mempunyai hubungan kerja yang baik serta persahabatan rapat. Tiada hubungan sulit. Memang tidak sesuai untuk berpelukan dengan ketua di konsert dan dia mengakui kesilapan itu.
"Namun, skandal, kejatuhan maruah dan kehilangan pekerjaan adalah sesuatu yang tidak adil,” kata sumber berkenaan kepada People.
Akibat tularnya video berkenaan, Kristin mengambil keputusan meletakkan jawatan, manakala Andy turut berundur selepas digantung tugas untuk siasatan dalaman.
Sumber tersebut menegaskan label perosak rumah tangga”yang dilemparkan kepada Kristin amat keterlaluan.
“Kesan daripada salah faham ini bukan sahaja dirasai oleh individu, malah turut menjejaskan keluarga mereka.
"Ramai orang seolah-olah seronok dengan gosip ini tanpa memikirkan kesannya terhadap kehidupan sebenar,” jelasnya.-Agensi