SEORANG guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah swasta berdepan tindakan undang-undang selepas didakwa menipu pasangan sebiliknya yang kini hamil hasil hubungan mereka.
Mangsa, yang telah bercerai, mendakwa dia tinggal serumah dengan guru berkenaan atas dasar janji perkahwinan.
Namun selepas laporan perubatan minggu lalu mengesahkan dirinya hamil, guru tersebut bertindak meninggalkan rumah sewa mereka pada Sabtu lepas.
Dia turut membawa keluar sebahagian barang kepunyaannya serta salinan laporan perubatan tersebut.
Kejadian dilaporkan berlaku di Bengaluru, India.
Kes berkenaan didaftarkan selepas pengadu membawa aduan ke Suruhanjaya Wanita Negeri Karnataka.
Berdasarkan arahan suruhanjaya itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 29 Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) yang merujuk kepada kesalahan hubungan seksual dengan menggunakan tipu muslihat.
Menurut sumber polis, pasangan itu kerap berbincang soal perkahwinan tetapi lelaki berkenaan didakwa menangguhkannya dengan alasan memerlukan restu ibu bapa.
“Dia bersama keluarganya keluar dari rumah secara tiba-tiba pada 20 September. Wanita itu kemudian tampil membuat laporan,” jelas seorang pegawai.
Pengadu turut menuduh guru tersebut memiliki ribuan rakaman eksplisit bersama wanita lain, namun polis menjelaskan setakat ini tiada bukti dikemukakan untuk menyokong dakwaan itu.
Dalam pada itu, tertuduh tampil melalui satu rakaman video menafikan dakwaan menipu.
Dia mendakwa hanya ke luar bandar bersama ibu bapa bagi menyelesaikan isu tanah keluarga dan berhasrat kembali ke Bengaluru.
“Saya tidak tahu mengapa dia membuat tuduhan ini. Saya mahu berkahwin dengannya dan tinggal bersama,” katanya.
Polis memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mendapatkan keterangan tambahan kedua-dua pihak sebelum menentukan tindakan seterusnya.-Agensi