suria

Gara-gara satu 'charger' telefon rosak, rumah hangus terbakar... Mangsa tinggal sehelai sepinggang

Keadaan rumah terbakar akibat pengunaan pengecas telefon rosak. -Foto Pattaya Mail

SEBUAH rumah kayu setingkat musnah dalam kebakaran pada Rabu, dipercayai berpunca daripada pengecas telefon rosak yang mengakibatkan litar pintas.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, kepulan asap hitam tebal kelihatan menjulang tinggi, mencetuskan kebimbangan penduduk sekitar.

Pasukan bomba mengambil masa 30 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berdekatan.

Bagaimanapun, rumah berusia puluhan tahun yang terletak di Chon Buri, Thailand itu hangus sepenuhnya.

Mangsa, Yupin Chitawong, 62, mengalami lecur di lengan kiri selepas cuba menyelamatkan barangan berharga.

“Saya hanya mahu ambil sedikit barang berharga, tetapi api merebak terlalu pantas hingga saya sukar bernafas,” katanya.

Siasatan awal pihak berkuasa mendapati punca kebakaran dipercayai daripada kabel pengecas telefon yang telah rosak. 

Bagaimanapun, pakar forensik dari Chon Buri dipanggil untuk menjalankan siasatan lanjut.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bantuan segera akan disalurkan kepada Yupin yang kehilangan semua harta benda dalam insiden berkenaan, manakala jumlah kerugian masih dalam penilaian.

Kejadian ini sekali lagi menjadi peringatan tentang bahaya penggunaan peralatan elektrik yang rosak. 

Penduduk dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa kabel dan pengecas usang, terutamanya di rumah lama dengan sistem pendawaian yang lemah.

Respons pantas pasukan kecemasan turut dipuji kerana berjaya mengelakkan bencana lebih besar di kawasan perumahan padat itu.-Agensi

Artikel Lain