KISAH tragis seorang lelaki yang menjual buah pinggang ketika remaja demi membeli iPhone 4 dan iPad 2 kembali tular selepas 14 tahun.
Dia kini hidup sebagai orang kurang upaya pada usia 31 tahun.
Terpengaruh dengan mesej di media sosial yang menyatakan manusia tidak memerlukan dua buah pinggang, pemuda itu menghubungi sindiket pemerdagangan organ haram tanpa pengetahuan keluarganya.
Wang Shangkun yang berasal dari wilayah Anhui, China membuat keputusan itu pada 2011 ketika berusia 17 tahun.
Dia menjalani pembedahan tidak sah di sebuah hospital kecil dan menerima 20,000 yuan (kira-kira RM13,000).
Wang terus membeli iPhone 4 dan iPad 2, namun tidak lama selepas itu dia mengalami jangkitan serius yang menyebabkan kegagalan buah pinggang.
Setahun kemudian, pihak berkuasa China berjaya menumpaskan sindiket berkenaan dan mahkamah mengarahkan pampasan 1.48 juta yuan (RM962,000) dibayar kepada keluarga Wang, tetapi ia tidak mampu mengubah nasibnya.
Kini, Wang kehilangan 75 peratus fungsi buah pinggang, menjalani dialisis berkala dan disahkan sebagai orang kurang upaya tahap tiga.
Dia tidak mampu bekerja dan sering mengalami komplikasi kesihatan.
“Jika saya belikan sahaja telefon untuknya dahulu, mungkin dia tidak akan ambil keputusan sebegini,” kata ibunya dengan penuh penyesalan. -Agensi