suria

Jodoh pendek… Suami isteri bercerai selepas 9 bulan kahwin, anjing bergaduh dengan kucing jadi punca!

Pasangan suami isteri bercerai kerana haiwan peliharaan mereka bergaduh. -Gambar hiasan AI

SEPASANG suami isteri memutuskan untuk bercerai selepas sembilan bulan berkahwin, gara-gara pertelingkahan antara haiwan peliharaan mereka iaitu seekor anjing dan beberapa ekor kucing.

Pasangan itu pada awalnya dipertemukan kerana mempunyai minat yang sama terhadap haiwan. 

Perbualan mereka sering dipenuhi dengan kisah serta gambar peliharaan masing-masing hingga akhirnya membawa ke jenjang pelamin pada Disember 2024.

Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila si isteri membawa kucing-kucing dari rumah ibu bapanya ke kediaman mereka di mana suaminya  mempunyai anjing peliharaan.

Konflik mula tercetus apabila isteri mendakwa anjing suaminya kerap mengganggu dan menyerang kucingnya hingga menyebabkan haiwan itu  hilang selera makan. 

Bukan itu sahaja, si suami juga menuduh kucing-kucing milik isterinya sering mengganggu akuarium dan bersikap kasar terhadap anjingnya.

Pertelingkahan rumah tangga semakin memuncak apabila kedua-duanya enggan mengalah dengan suami tetap mahu memelihara anjingnya, manakala isteri bertegas tidak akan meninggalkan kucingnya.

Media tempatapan melaporkan, kes itu akhirnya dibawa ke Mahkamah Keluarga Bhopal di India untuk sesi kaunseling wajib.

Namun, usaha mediasi gagal kerana masing-masing tetap berkeras dengan pendirian sendiri yang akhirnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk memfailkan penceraian secara rasmi.-Agensi

Artikel Lain