SEORANG nenek meluahkan rasa hampa selepas kerajaan menolak permohonan visa suaminya yang berasal dari Maghribi untuk tinggal bersama.
Karen Aghzzaf, 70, berkahwin dengan Brahim, 46, pada 2017 selepas berkenalan melalui Facebook sejak 2015.
Walaupun jarak usia mereka 24 tahun iaitu hanya lima tahun lebih muda daripada anak sulung Karen, pasangan itu mengakui cinta mereka berputik sejak pandangan pertama.
Namun, impian untuk hidup bersama di Britain berulang kali terkandas apabila permohonan visa suami Karen ditolak oleh pihak Home Office.
Antara punca penolakan adalah kerana Brahim gagal dalam ujian bahasa Inggeris, syarat wajib untuk permohonan visa pasangan.
Karen mendakwa kegagalan itu berpunca daripada masalah disleksia yang dialami suaminya dengan dia turut merayu agar pihak berkuasa memberi pengecualian khas.
“Kami sudah cuba beberapa kali, tapi tetap ditolak. Ini benar-benar merosakkan keyakinan Brahim. Saya rasa berhak untuk hidup bersama suami saya,” katanya.
Menurut Karen, ada ketika mereka berbincang kemungkinan dia berpindah ke Maghribi, namun dia mengakui sukar meninggalkan kehidupan dan rumahnya di Yorkshire.
Pasangan ini terus berusaha mencari jalan agar dapat tinggal sebumbung selepas lapan tahun menjalani hubungan jarak jauh.-Agensi