SEORANG pempengaruh, Yoon Ji-ah, dipercayai dibunuh dengan kejam oleh penaja VIP tidak lama selepas dia menamatkan siaran langsung di satu platform media sosial pada 11 September lalu.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan dipukul dan dicekik hingga mati hanya kira-kira 30 minit selepas sesi live terakhirnya berakhir.
Mayatnya kemudian ditemukan di dalam beg pakaian di kawasan pergunungan Muju, kira-kira tiga jam perjalanan dari Pulau Yeongjong, Incheon, Korea Selatan di mana lokasi terakhir dia bersiaran.
Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 50-an dikenali dengan nama keluarga Choi, yang merupakan penaja VIP dan peminat tegar pempengaruh itu.
Choi mendakwa dia merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) dan dipercayai mendekati Yoon atas alasan kerjasama perniagaan untuk meningkatkan jumlah pengikutnya.
Menurut laporan media tempatan, Choi dikenali di platform penstriman video dengan gelaran 'Black Cat' dan memiliki status VIP tahap 56.
Ia merupakan kedudukan yang hanya dicapai selepas membelanjakan sekurang-kurangnya 53,000 Pound Britain (RM300,283) bagi menyokong pencipta kandungan seperti Yoon.
Difahamkan, Yoon sebelum ini mahu menamatkan urusan perniagaan dengan Choi.
Namun sehari sebelum kejadian, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki itu berlutut dan merayu di hadapan mangsa, dipercayai memohon supaya hubungan mereka tidak diputuskan.
Sementara itu, beberapa saksi memaklumkan melihat Choi menarik sebuah beg besar keluar dari rumahnya sebelum menuju ke kawasan pergunungan Muju di mana tempat mayat Yoon akhirnya ditemukan.
Suspek ditahan 12 jam selepas penemuan mayat wanita itu.
Dalam keadaan sebak, ibu mangsa menceritakan detik terakhir anaknya berdasarkan rakaman CCTV yang ditunjuk oleh penyiasat.
"CCTV tunjuk Yoon hampir keluar dari kereta, tapi dia ditarik masuk semula secara paksa. Pintu kemudian tertutup," katanya.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian Yoon adalah akibat lemas disebabkan tekanan pada leher. -Agensi