SEORANG lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas digigit semut ketika melakukan kerja memotong dahan pokok di sebuah ladang pada Isnin petang.
Mangsa, Ekkaphan Thianphanthong, 39, ditemukan terbaring kaku dengan beberapa kesan gigitan serangga pada tubuhnya.
Kejadian sekitar pukul 4 petang itu berlaku di sebuah ladang berhampiran Kuil Sawang Arom di Samut Prakan, Bangkok, Thailand.
Menurut majikannya, Pirom Jayakan, 61, mangsa sudah bekerja dengannya lebih 10 tahun dan dianggap seperti anak sendiri.
Pada hari kejadian, Ekkaphan bersama seorang lagi pekerja diarahkan memangkas pokok berhampiran kolam ikan bagi mengelakkan dahan tersangkut pada kabel elektrik.
Namun, ketika sedang bekerja, mangsa tiba-tiba menjerit kesakitan selepas digigit semut sebelum rebah ketika cuba turun dari pokok.
Usaha rakan sekerja memberikan bantuan tidak berhasil apabila mangsa pengsan dan tidak sedarkan diri.
Mayat Ekkaphan dibawa ke Institut Perubatan Chakri Naruebodindra untuk bedah siasat.
Polis percaya punca kematian disebabkan daripada reaksi alahan teruk akibat bisa semut. -Agensi