WARTAWAN dan aktivis kemanusiaan dari Scotland, Yvonne Ridley, dilaporkan hilang selepas dipenjarakan oleh pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut laporan media antarabangsa pada Ahad, Yvonne, 67, sepatutnya dihantar pulang ke Istanbul, Turkiye namun tidak muncul ketika proses pemindahan tahanan.
Lokasi terkini wartawan berkenaan masih belum diketahui.
Difahamkan, Yvonne ditahan di penjara Ketziot dan tidak diberikan ubat-ubatan penting yang diperlukan sepanjang berada dalam tahanan.
Dia diberikan akses kepada konsular pada Jumaat dengan laporan menyebut keadaan tempat tahanannya sebagai 'amat membimbangkan'.
Keluarga Yvonne turut menerima makluman bahawa layanan terhadapnya bersifat agresif dan menakutkan.
Mereka turut dimaklumkan bahawa ubat asal Yvonne dirampas dan digantikan dengan ubat lain yang enggan diambil olehnya.
Kehilangan Yvonne turut disahkan menerusi Instagram peribadinya yang memaklumkan tentang kejadian itu.
Pihak pengendali akaun tersebut turut menggesa orang ramai menghubungi Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) United Kingdom bagi mendesak kerajaan campur tangan segera memastikan keselamatan Yvonne.
Yvonne merupakan antara lebih 500 sukarelawan yang menyertai misi bersejarah GSF membawa bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin yang disekat Israel.
Konvoi kapal itu hampir tiba ke Gaza sebelum dipintas tentera Israel pada malam Rabu hingga Khamis ketika berada di perairan antarabangsa.
Lebih 40 kapal ditahan, manakala semua aktivis di atas kapal dibawa ke wilayah yang diduduki Israel untuk disoal siasat.
Untuk makluman, GSF ialah inisiatif antarabangsa yang menghimpunkan aktivis, wartawan dan sukarelawan dari seluruh dunia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui laut.
Yvonne pernah menjadi tumpuan dunia pada 2001 apabila ditawan oleh kumpulan Taliban di Afghanistan selepas peristiwa serangan 9/11 dan sebelum bermulanya perang yang diketuai Amerika Syarikat.
Menurut laporan, dua tahun kemudian dia memeluk agama Islam dan sejak itu menjadi pendukung tegar perjuangan rakyat Palestin. -PressTv