SEORANG lelaki tergamak membunuh anak perempuan bersama cucunya yang baru berusia sehari dipercayai berpunca daripada isu maruah keluarga.
Mangsa dikenal pasti sebagai Radhika Kumari dan bayi perempuannya yang baru dilahirkan di Hospital Sadar, Garhwa, demikian menurut polis pada Selasa.
Kejadian tragis itu berlaku di perkampungan Oraiya, daerah Garhwa, Jharkhand, India.
Ketua Balai Polis Meral, Vishnukant, berkata suspek yang dikenali sebagai Anil Choudhary sudah ditahan dan mengaku melakukan pembunuhan tersebut.
"Kami menjalankan operasi mencari mangsa selepas dilaporkan hilang sejak Ahad dan menahan bapanya untuk disoal siasat.
"Ketika disoal, lelaki itu memberitahu anaknya menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki dari daerah bersebelahan, Palamu.
"Kemudian, mangsa melarikan diri dari rumah dan berkahwin dengan lelaki tersebut tanpa restu bapanya," katanya.
Menurut polis, pada hari kejadian, suspek dipercayai memanggil anaknya pulang ke rumah selepas mengetahui dia selamat melahirkan anak.
Namun, sebaik tiba, mangsa dan bayi berkenaan dipercayai dicekik hingga mati sebelum mayat mereka ditanam di kawasan terpencil berhampiran kampung.
Polis kemudian menemukan mayat kedua-duanya tertanam di lokasi berkenaan pada Isnin malam berdasarkan maklumat yang didedahkan suspek. -Agensi