suria

[V] Pemandu terlelap, tren ringan tiba-tiba bergerak laju... Penumpang terhumban ke dinding!

Rakaman CCTV (kanan) memaparkan pemandu Tren Muni terlelap ketika bertugas.

TULAR satu rakaman video menunjukkan sebuah tren ringan di California bergoyang kuat susulan pemandunya didakwa tertidur ketika bertugas.

Insiden mencemaskan tersebut berlaku pada 24 September lalu apabila pemandu wanita San Francisco Municipal Transportation Agency (SFMTA) dikatakan terlelap semasa mengendalikan tren Muni yang sarat dengan penumpang melalui Sunset Tunnel di bandar itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) [Tonton Video] menunjukkan kepala pemandu beransur-ansur terjatuh ke belakang kira-kira satu minit setengah selepas tren bergerak. 

Ketika itu dia kelihatan berusaha untuk kekal berjaga dan kembali tegak seketika sebelum akhirnya tertunduk semula dengan mata terpejam.

Beberapa saat kemudian, tren meluncur laju mencapai kelajuan 80 kilometer sejam dalam terowong berkenaan.

Sebaik tren keluar dari terowong, ia bergoyang kuat menyebabkan penumpang terhumban ke dinding. 

Situasi bertambah panik apabila tren hampir bertembung dengan sebuah kereta sebelum pemandu tiba-tiba tersedar dan berjaya mengawal semula tren tersebut.

Meskipun tren tidak tergelincir, namun ia terlepas beberapa hentian yang dijadualkan di Duboce Avenue dan Noe Street sebelum berhenti sepenuhnya.

Selepas kejadian, pemandu terbabit dilihat cuba menenangkan penumpang yang ketakutan sambil berkata... "saya minta maaf. Bertenang, kita tak kemalangan. Tolong bertenang."

Dalam pada itu, Pengarah Pengangkutan SFMTA, Julie Kirschbaum berkata, kejadian berpunca daripada keletihan pemandu. 

Walau bagaimanapun, katanya, pemandu terbabit telah digantung tugas memandu sementara siasatan penuh dijalankan.

"Kami mengambil perkara ini dengan serius. Keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami.

"Kami komited terhadap tanggungjawab dan akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan perkhidmatan Muni kekal selamat serta boleh dipercayai," tambahnya. -Agensi

Artikel Lain