suria

Terlampau ingin perhatian rakan, wanita sunting resit transaksi bayaran di restoran

Pembayaran menggunakan aplikasi atas talian adalah lebih mudah. -Gambar hiasan AI

SEORANG wanita warga Filipina dijatuhi hukuman penjara setahun 11 bulan selepas menipu dua restoran dengan menggunakan tangkap layar palsu transaksi PayNow membabitkan lebih S$9,000 (kira-kira RM28,500).

Tertuduh, Santos-Tumalip Maria Monalyn Bagaporo, 33, mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menipu dan mencuri, manakala tiga lagi pertuduhan diambil kira untuk hukuman.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Bagaporo menipu sebanyak 35 kali di restoran Home of Seafood di Joo Chiat antara Mei 2022 hingga Ogos 2023, dan 24 kali di restoran Itali Baci Baci di Serangoon Gardens antara Jun 2024 hingga Mei 2025.

Dia menggunakan aplikasi pengeditan gambar untuk mengubah tangkap layar pembayaran supaya kelihatan seolah-olah bayaran dibuat kepada pihak restoran.

Menurut pendakwa raya, kesalahan yang dilakukan konon itu kononnya untuk kelihatan hebat dalam kalangan rakan-rakan.

Selain dua restoran itu, Bagaporo turut menipu sebuah salun rambut, Johwa Hair and Living, di Orchard dengan cara sama untuk mendapatkan baucar rawatan rambut bernilai S$763 (kira-kira RM2,400). 

Walaupun diarahkan hadir memberi keterangan kepada polis, dia memadam semua mesej WhatsApp berkaitan kes tersebut bagi menghalang siasatan.

Dia juga ditangkap mencuri barangan bernilai S$738.76 (kira-kira RM2,340) di pasar raya Giant Bedok pada November 2024, termasuk coklat, biskut dan produk penjagaan diri.

Pendakwa menegaskan Bagaporo menunjukkan tingkah laku berulang dan tidak jujur walaupun sudah dibebaskan dengan jaminan. 

Susulan itu, dia boleh dikenakan hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda bagi kesalahan menipu, serta tujuh tahun bagi kesalahan mencuri. -Agensi

Artikel Lain