suria

Influencer masakan maut ditembak, didakwa cuba serang anggota polis dengan pisau

Mangsa ditembak dua kali selepas enggan melepaskan pisau yang dipegang. -Foto Instagram foodwithbearhands

DUNIA kulinari dikejutkan dengan kematian tragis seorang pencipta kandungan dan pempengaruh popular dikenali sebagai FoodwithBearHands.

Ia berikutan dia ditembak mati oleh polis di Texas pada 8 November lalu iaitu tiga hari selepas ulang tahun perkahwinannya.

Mangsa, dikenali sebagai Michael Duarte, dilaporkan terkena dua das tembakan selepas pihak berkuasa mendapati dia memegang sebilah pisau dan bertindak secara tidak menentu.

Menurut kenyataan Pejabat Sheriff Daerah Medina, Duarte didakwa enggan melepaskan pisau apabila diarahkan polis.

"Duarte bertindak agresif dan mengancam mahu membunuh orang ramai. Dia kemudian meluru ke arah pegawai sambil menjerit... aku akan bunuh kau!," kata kenyataan itu.

Duarte yang cedera parah diberi rawatan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke hospital San Antonio, namun disahkan meninggal dunia.

Keluarganya mengesahkan kematian itu dan menggelarnya sebagai seorang suami serta bapa penyayang.

Chef berusia lingkungan 30-an itu meninggalkan seorang isteri, Jessica Lee Duarte, dan anak perempuan bernama Oakley. 

Dia sebelum ini pernah berkongsi mengenai perjuangannya melawan masalah kesihatan mental, termasuk mengalami gangguan emosi ketika pandemik Covid-19 sehingga mendapatkan rawatan psikiatri.

Dikenali dengan video memasak BBQ dan panggang, Michael memiliki lebih dua juta pengikut di media sosial. 

Bio Instagram miliknya tertulis: My purpose is to share to the world food to people who need it the most.

Buat masa ini, tarikh pengebumian masih belum diputuskan. -Agensi

Artikel Lain