suria

Mahu kurus sebelum jumpa keluarga mentua, lelaki obesiti meninggal dunia 3 hari selepas pembedahan

Lelaki dikenali sebagai Li meninggal dunia selepas 3 hari menjalani pembedahan pintasan gastrik. -Foto QQ.com/ SCMP

SEORANG lelaki obesiti meninggal dunia beberapa hari selepas menjalani pembedahan pintasan gastrik.

Lelaki berusia 36 tahun yang dikenali dengan nama samaran Li Jiang dari Xinxiang, wilayah Henan, China itu telah lama berdepan masalah obesiti dan kesukaran mengawal tabiat pemakanan. 

Dengan ketinggian 174 sentimeter dan berat melebihi 134 kilogram, Li berusaha menurunkan berat badan sebelum bertemu dengan ibu bapa kepada kekasihnya.

Menurut abang sulungnya, Li dan teman wanitanya merancang untuk memperkenalkan antara satu sama lain kepada keluarga masing-masing, justeru adiknya itu memilih menjalani pembedahan pintasan gastrik sebagai langkah memperbaiki penampilan dan kesihatan.

Pada 30 September, Li dimasukkan ke hospital di Zhengzhou untuk menjalani prosedur tersebut. 

Pembedahan berjaya dilakukan pada 2 Oktober, dan Li kemudian ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad umum pada hari berikutnya.

Namun pada 4 Oktober, keadaan Li dilaporkan merosot secara mendadak. Sekitar pukul 6.40 pagi, dia didapati berhenti bernafas dan segera dihantar kembali ke ICU untuk rawatan kecemasan. 

Li bagaimanapun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober akibat kegagalan pernafasan.

Rekod perubatan menunjukkan Li mengalami peningkatan berat badan progresif sejak setahun lalu, disertai masalah berdengkur teruk ketika tidur selain turut mempunyai hipertensi dan hati berlemak.

Keluarga Li mempersoalkan sama ada pihak hospital telah membuat penilaian sewajarnya terhadap keadaan fizikal serta kesihatannya sebelum pembedahan dijalankan.

Pada 10 Oktober, keluarga Li dan pihak hospital bersetuju menyerahkan kes berkenaan kepada Suruhanjaya Kesihatan tempatan untuk menjalankan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. -Agensi

Artikel Lain