SEORANG jururawat di Jerman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan kesalahan membunuh 10 pesakit bagi mengurangkan beban tugasnya di hospital.
Menurut laporan media tempatan, lelaki berusia 44 tahun itu bertugas di Hospital Rhein-Maas-Klinikum di bandar Würselen dan ditahan pada Julai 2024.
Mahkamah Wilayah Aachen mendapati tertuduh bersalah kerana menyuntik dos ubat penenang dan ubat tahan sakit secara berlebihan kepada pesakit warga emas tanpa kebenaran mereka.
Perbicaraan mendapati, perbuatan kejam itu dilakukan antara tahun 2023 dan 2024 di wad rawatan paliatif unit khas untuk pesakit tenat.
Tindakannya itu mengakibatkan 10 pesakit maut selain didakwa atas cubaan membunuh 27 yang lain.
Pendakwa raya memaklumkan bahawa jururawat tersebut melakukan tindakan itu bagi memudahkan tugasan syif malamnya, dengan tujuan menenangkan pesakit supaya tidak perlu dijaga dengan teliti.
Hasil siasatan turut mendedahkan lelaki itu tidak pernah berminat dengan profesion kejururawatan, malah dikatakan tidak tahan melihat keadaan pesakit yang sedang nazak.
Pendakwa raya turut menyatakan bahawa tertuduh menghidap gangguan personaliti dengan ciri narsistik serta sedar sepenuhnya bahawa dos berlebihan yang diberikannya mampu membunuh pesakit.
"Dia tidak berasa simpati terhadap pesakit-pesakit ini, sedangkan ramai antara mereka masih mempunyai harapan dan tujuan hidup walaupun dalam keadaan sakit tenat," kata pihak pendakwa.
Kes tersebut menggemparkan Jerman dan mencetuskan perdebatan mengenai kawalan keselamatan serta tahap pemantauan terhadap kakitangan perubatan di hospital negara itu. -Agensi


