SEORANG lelaki mengaku di mahkamah bahawa dia membunuh kekasihnya pada 20 Oktober tahun lalu di rumah mereka dengan alasan wanita itu sering memperkecilkannya.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu turut mengaku menyamar sebagai kekasihnya dengan menghantar mesej kepada keluarga wanita itu selama hampir setahun selepas kejadian.
Tragedi menyayat hati itu bermula apabila mangsa dikatakan memarahi lelaki itu kerana tidak mengikut nasihat pelaburan saham yang diberikannya.
Lelaki itu kemudian menjerut mangsa sehingga mati sebelum menyembunyikan mayatnya dalam peti sejuk.
Untuk rekod pasangan kekasih tersebut telah bersama selama empat tahun sebelum terjadinya insiden di Gunsan, Wilayah Jeolla Utara di Korea Selatan.
Suspek turut mengambil pinjaman bank sebanyak KRW88 juta (RM249,069) atas nama mangsa dan menggunakan wang tersebut untuk membayar sewa sebuah vila milik wanita itu.
Kecurigaan timbul apabila adik mangsa menyedari kakaknya hanya membalas mesej dan tidak lagi menjawab panggilan telefon.
Salah satu mesej yang diterima berbunyi, saya selamat dan sihat, walaupun panggilan sebelumnya tidak dijawab.
Perkara itu membuatkan adiknya membuat laporan polis pada September.
Polis kemudian berjaya menghubungi satu lagi nombor, namun panggilan itu dijawab oleh seorang wanita lain.
Wanita tersebut mengaku kepada polis bahawa dia bukan mangsa dan berkata tertuduh meminta dia menjawab panggilan itu ketika mereka tinggal bersama.
Menurut laporan media tempatan, polis menemukan mayat mangsa dalam keadaan hampir sempurna kerana tertuduh menetapkan suhu peti sejuk tersebut pada –32°C.
Ketika disoal, lelaki itu mengaku membunuh teman wanitanya kerana berasa diperlekeh dan hilang kawalan.
Menerusi prosiding perbicaraan pertama pada Khamis, tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan membunuh, menyembunyikan atau membuang mayat, serta penipuan berkaitan komputer. -Agensi


