suria

Suami isteri kejam! Sanggup rancang pembunuhan anak demi pampasan insurans

Berada di titik buta kenderaan besar seperti lori boleh mengakibatkan kemalangan. -Gambar hiasan AI

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman mati selepas didapati merancang pembunuhan anak kandungnya berusia tujuh tahun dalam kemalangan jalan raya yang direka semata-mata untuk menuntut insurans.

Dalam kejadian pada tahun 2020 itu, lelaki dikenali sebagai Zhang bertengkar dengan isterinya berkaitan masalah kewangan dan kecurangan wanita itu.

Dalam keadaan marah dan tertekan, Zhang merancang membunuh anaknya bagi mendapatkan pampasan insurans.

Zhang kemudian berkomplot dengan sepupunya, seorang pemandu lori, yang kenderaan majikannya memiliki dua polisi insurans bernilai tinggi.

Pada Oktober tahun sama, Zhang meletakkan keretanya di tepi jalan, meminta anaknya keluar dan menunggu di sisi kereta.

Beberapa saat kemudian, lori dipandu sepupunya merempuh kereta itu, menyebabkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia di tempat kejadian di wilayah Fujian, China.

Ketika polis tiba, Zhang berpura-pura sedih sambil mendukung mayat anaknya dan sepupunya pula mendakwa dia terlihat telefon hingga tidak menyedari ada kereta di hadapan.

Zhang turut menyembunyikan fakta bahawa pemandu lori itu adalah sepupunya.

Beberapa bulan kemudian, Zhang menerima pampasan insurans sebanyak 180,000 yuan (RM106,400) dan menyerahkan 30,000 yuan (RM17,700) kepada sepupunya.

Siasatan kemudian terbongkar apabila didapati sepupu Zhang menggunakan sijil kelayakan memandu lori palsu.

Susulan itu, syarikat insurans menolak tuntutan dan mahkamah mengarahkan pemilik lori, Luo dan sepupu Zhang membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Terkejut dengan keputusan tersebut, Luo mendapatkan bantuan seorang rakan Zhang bernama Ye, yang mendedahkan bahawa dia mengetahui rancangan pembunuhan itu namun terlalu takut untuk campur tangan.

Maklumat ini membawa kepada penahanan Zhang dan sepupunya, yang menyaksikan mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-dua lelaki itu.

Sepupu Zhang dikenakan hukuman mati dengan penangguhan dua tahun, manakala Zhang turut dijatuhi hukuman mati tetapi memfailkan rayuan.-Agensi

Artikel Lain