BEKAS eksekutif syarikat berkaitan kerajaan yang kini bekerja sebagai penghantar makanan mencuri perhatian warga maya selepas mendedahkan kisah perkahwinannya.
Ia susulan rumah tangganya runtuh apabila isterinya meminta cerai sebaik sahaja dia kehilangan pekerjaan yang bergaji 50,000 yuan (RM29,000).
Kejadian dilaporkan berlaku di Hangzhou, China.
Berkongsi cerita, graduan lulusan Universiti Zhejiang yang dikenali sebagai Qianqian berkata, lima tahun lalu dia diberhentikan kerja atas sebab yang tidak dapat didedahkan.
Katanya, perubahan drastik itu menyebabkan isterinya yang tidak bekerja dan hidup ditanggung penuh olehnya menuntut penceraian.
"Dia wanita yang paling saya cintai. Saya pernah fikir saya takkan melupakannya.
"Tapi suatu hari saya sedar, dia bukan cintakan saya… dia cuma cintakan kesanggupan saya memenuhi kehendaknya," luahnya.
Menurut lelaki berusia 43 tahun ini, dia dan bekas isteri bekenalan melalui permainan dalam talian.
Pada masa sama Qianqian mengakui bekas isterinya sering menjadi rebutan lelaki kerana wajah yang cantik namun memilihnya disebabkan dia mengeluarkan wang tanpa soal.
Sepanjang tujuh tahun perkahwinan, wanita itu menikmati gaya hidup mewah dengan membeli pakaian dalam tiga warna berbeza, memiliki beg berjenama bernilai lebih 15,000 yuan (RM8,700) setiap satu.
Malah katanya, krim wajah yang digunakan adalah jenis premium termasuk untuk tangan dan kaki selain mengambil suplemen mahal dan menjalani beberapa prosedur kosmetik.
Gaya hidup mewah isterinya itu membuatkan dia terpaksa menjual rumah demi menampung perbelanjaan.
Namun dedahnya, hubungan intim mereka hampir tidak wujud, iaitu tujuh atau lapan kali dalam tujuh tahun.
"Ketika kami bercerai, tiada harta bersama… saya memang tak ada apa-apa lagi.
"Apa yang saya hilang bukan duit tetapi masa muda saya," tambahnya kesal.
Dia juga mengakui kehidupannya lebih bebas meskipun sunyi. -Agensi


