suria

[V] Lebih seminggu terkandas di angkasa, 3 angkasawan China mendarat di Bumi

Angkasawan China selamat mendarat di Bumi pada Jumaat.

TIGA angkasawan China selamat mendarat semula di Bumi pada Jumaat, selepas misi pulang mereka tertangguh lebih seminggu disebabkan tingkap kapsul Shenzhou-20 retak.

Berdasarkan laporan, kru Shenzhou-20 sepatutnya menamatkan misi di Stesen Angkasa Tiangong minggu lalu dan telah menyerahkan operasi stesen kepada kru baharu yang baru tiba untuk misi enam bulan. 

Namun, perjalanan pulang mereka terpaksa ditunda kerana insiden serpihan angkasa yang merempuh kapal.

Menurut China Manned Space Agency (CMSA) [Tonton Video],

selepas menunggu selama sembilan hari, mereka akhirnya dibawa pulang menggunakan kapal Shenzhou-21 yang sebelum itu membawa kumpulan kru baharu ke orbit. 

Pemeriksaan perubatan mengesahkan ketiga-tiganya berada dalam keadaan sihat.

"Jalan penerokaan angkasa tidak pernah mudah, penuh cabaran. Namun itulah sebab kami memilih untuk berada di sini.

"Kami bangga kerana berjaya menyelesaikan misi dan akhirnya pulang dengan selamat," kata angkasawan Chen Dong ketika ditemui selepas pendaratan.

Dalam pada itu, CMSA memaklumkan Shenzhou-20 mengalami keretakan kecil pada tingkap kapsul  dipercayai akibat hentaman serpihan di angkasa.

Kesan retakan yang terhasil membuatkannya dianggap tidak selamat untuk digunakan. 

Susulan itu, kapal tersebut akan terus berada di orbit bagi tujuan eksperimen.

Sepanjang tempoh tambahan seminggu itu, kru Shenzhou-20 meneruskan rutin harian bersama kru Shenzhou-21 memandangkan Stesen Tiangong mempunyai kapasiti menyokong dua pasukan pada satu masa.

Kru Shenzhou-21 kini tinggal tanpa kapal pulang sehingga pelancaran Shenzhou-22 tahun depan, yang turut merangkumi eksperimen kediaman jangka panjang lebih setahun.

Untuk rekod, Tiangong kini menjadi salah satu daripada hanya dua stesen angkasa aktif di dunia selain ISS. 

Sejak siap dibina pada 2022, pelancaran berkala program Shenzhou menjadi kebanggaan negara China, termasuk rekod dunia bagi aktiviti berjalan di angkasa selama sembilan jam.

Ia juga dijadualkan menerima angkasawan pertama dari Pakistan pada tahun depan. -Agensi

 

Artikel Lain