HAYAT seorang wanita berakhir dengan tragedi apabila dia maut ditikam oleh rakan zaman kanak-kanaknya selepas enggan memenuhi permintaan lelaki itu untuk berkahwin.Kejadian menyayat hati itu berlaku di bandar Yellapur, Karnataka di India pada Sabtu. Berdasarkan laporan, mangsa yang dikenali sebagai Ranjitha Banasode, 30, dan suspek, Rafiq Imamsaba, merupakan kenalan lama yang telah berkawan sejak zaman persekolahan lagi.Ranjitha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki dari Maharashtra kira-kira 12 tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia 10 tahun.Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tinggal berasingan dengan suaminya atas sebab peribadi dan menetap bersama keluarganya di Yellapur sambil bekerja sebagai pembantu program makan tengah hari di sebuah sekolah kerajaan.Hubungan persahabatan mereka mula retak apabila suspek yang didakwa sering berkunjung ke rumah mangsa untuk makan, mula mendesak untuk berkahwin dengannya.Hasrat itu bagaimanapun ditolak mangsa dan ahli keluarganya.Penolakan tersebut membuatkan suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan objek tajam ketika wanita itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.Mangsa yang parah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan.Namun dia disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.Sementara itu, suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian sejurus selepas serangan tersebut sebelum mayatnya ditemukan tergantung di dalam hutan, beberapa jam kemudian.Pegawai polis yang menjalankan siasatan menemui seutas tali dan botol minuman keras pada mayat lelaki berkenaan. -Agensi