SEORANG lelaki bertindak kejam apabila menetak ibu kandungnya sendiri menggunakan sebilah parang ketika sedang mengamuk.Kejadian pada pagi Ahad itu dilaporkan berlaku di daerah Senangkhanikhom, Amnat Charoen di Thailand. Insiden ngeri itu terbongkar selepas penduduk kampung melihat suspek berjalan dalam keadaan mencurigakan dengan wajah dan pakaian yang dipenuhi kesan darah sekitar pukul 8.30 pagi.Berdasarkan laporan, penduduk setempat pada mulanya menyangka lelaki yang dikenali sebagai Mongkol, 42, terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas melihatnya duduk di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah.Rasa simpati itu bertukar menjadi ketakutan apabila suspek mula menunjukkan tingkah laku agresif dan tidak terkawal.Bimbang perkara buruk berlaku, penduduk segera menghubungi ketua kampung dan pihak polis untuk pemeriksaan lanjut.Ketua kampung kemudiannya membuat pengumuman melalui pembesar suara komuniti sebelum bergegas ke rumah suspek bersama beberapa pegawai tempatan.Susulan daripada itu, mayat ibu suspek, Soi, 71, ditemukan terbaring kaku di dalam rumah keluarga tersebut dengan kesan kecederaan parah.Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyerang ibunya menggunakan sebilah parang ketika sedang mengamuk. Selepas melakukan perbuatan kejam itu, dia dilaporkan membuang senjata tersebut di kawasan sawah padi.Menurut polis, suspek mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan baru sahaja dibebaskan daripada pusat pemulihan."Suspek kini ditahan dan di bawah pengawasan ketat pihak polis sementara soal siasat diteruskan."Dia berdepan pertuduhan membunuh dengan sengaja," ujar jurucakap polis.Pasukan forensik turut mengambil sampel darah, DNA suspek dan melakukan ujian air kencing bagi mengesahkan penglibatan bahan terlarang dalam tragedi berdarah itu. -Agensi