suria

Remaja ditahan sunting gambar lucah guna AI, jual RM2 sekeping

Individu menggunakan telefon untuk mengikut media sosial. -Gambar hiasan

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana didakwa menyunting dan menjual gambar lucah menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 18 tahun pada 3 April lalu, selepas mendapati gambar lucah yang disunting menggunakan wajahnya tular di media sosial.

Susulan itu, polis berjaya menahan suspek di sekitar kawasan Kulai, pada pukul 5 petang Selasa.

"Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menyunting dan memuat naik gambar bogel mangsa ke laman sosial untuk dijual pada harga RM2 sekeping.

"Siasatan awal mendapati suspek menggunakan aplikasi teknologi AI untuk menyunting gambar mangsa yang diperoleh daripada akaun media sosial," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bermula Rabu untuk siasatan lanjut.

"Sehingga kini, polis menerima lapan laporan polis daripada mangsa yang lain, melibatkan isu kes dan suspek sama," ujarnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Mana-mana individu yang menjadi mangsa dinasihatkan untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Kami juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar mangsa di media sosial,” katanya sambil menambah mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Huda Shohodin di talian 013-5382698.

Artikel Lain

Saiful Apek kena tahan?