suria

Kesilapan gambar Jalur Gemilang, Sin Chew Daily gantung tugas 2 editor

Akhbar itu menggantung tugas dua editor susulan kesilapan gambar Jalur Gemilang.

SIN CHEW Daily menggantung tugas Ketua Pengarang Eksekutifnya, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Subeditor, Tsai Shwu San sementara siasatan dijalankan berhubung kesilapan memaparkan Jalur Gemilang.

Dalam kenyataan ringkas di laman web rasminya, syarikat itu memaklumkan keputusan berkenaan berkuat kuasa pada Khamis.

“Susulan isu kesilapan paparan imej bendera pada muka hadapan akhbar Sin Chew Daily, dan berlandaskan prinsip tanggungjawab, Sin Chew Daily memutuskan untuk menggantung tugas Ketua Pengarang Eksekutif, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Subeditor, Tsai Shwu San.

“Pihak pengurusan Sin Chew Daily memaklumkan keputusan ini berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihak polis selesai merakam keterangan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan berhubung penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka depan akhbar berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat, terima 13 laporan isu kesilapan gambar Jalur Gemilang - KPN

ARTIKEL BERKAITAN: Kesilapan papar gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit tidak boleh diterima - Agong

Proses rakaman keterangan itu berlangsung selama kira-kira tiga jam di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Razarudin memaklumkan setakat ini, polis menerima sebanyak 40 laporan di seluruh negara berhubung isu tersebut.

Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Susulan kecaman orang ramai, akhbar itu mengeluarkan permohonan maaf dan menjelaskan kesilapan itu berpunca daripada masalah teknikal serta tidak disengajakan.

Sin Chew Daily turut memaklumkan tindakan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kesilapan paparan bendera pada muka depan akhbar.

Kenyataan itu dikeluarkan lewat malam Rabu (16 April), susulan teguran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong, berhubung kesilapan melibatkan Jalur Gemilang tersebut. - The Star

Artikel Lain