HASRAT seorang wanita untuk meluangkan masa bersama keluarga di sebuah pasar raya bertukar menjadi pengalaman pahit apabila dia menjadi mangsa pemuda berhidung belang.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia menyedari aksinya yang sedang berjalan ditemani suami dan anak-anak dirakam seorang pemuda berbaju kuning.
“Masuk ke dalam pasar raya, perasan budak ni ikut sambil telefonnya tegak merakam. Mungkin kebetulan masuk sekali. Apabila ke bahagian lain, budak ni ikut juga sambil merakam.
Mangsa meminta suaminya (kanan) menyemak telefon pemuda itu.
"Saya ke bahagian lain pun sama. Ketara sangat. Anak-anak pun perasan dengan kehadiran lelaki itu. Dia asyik tengok kita je umi.
"Saya beritahu suami, dia terus ikut budak ni dari belakang. Tapi saya rasa tak puas hati. Saya terus berjumpa dengan budak ni sambil rakam sebagai bukti," tulisnya dalam satu hantaran di media sosial.
Menerusi satu rakaman dimuat naik di Instagram, wanita itu bertindak bersemuka dengan pemuda berkenaan sambil merakam perbualan mereka sebagai bukti.
Sewaktu ditanya, pemuda berusia 20 tahun itu pada mulanya menafikan dia membuat sebarang rakaman seperti yang didakwa mangsa.
Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan, mangsa kemudiannya meminta bantuan suaminya untuk memeriksa telefon pemuda tersebut dan akhirnya mereka menemukan koleksi video yang mengejutkan.
"Rupanya ada beberapa video saya, siap zoom belakang saya dan beberapa video perempuan mengandung lain. Berpurdah pun ada. Taste memang dengan orang mengandung," katanya.
Menerusi video yang dikongsikan juga, suami kepada mangsa dilihat hilang kawalan dengan cuba mengasari pelaku sebelum orang ramai campur tangan.
Pemuda itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
"Video terpaksa dipotong atas tindakan seterusnya. Perasaan seorang suami tak dijangka kalau isteri kena macam ni.
"(Suami) ditenteramkan orang ramai. Sampai terkencing pelaku akibat takut," ujar mangsa lagi.
Pemuda itu kemudian diserahkan kepada pihak polis dan satu laporan mengenainya dibuat.
Hasil soal siasat mendapati pelaku baru berusia 20 tahun dan merupakan pelajar di sebuah universiti di Seremban, Negeri Sembilan.
Walaupun pada awalnya wanita itu berhasrat mahu meneruskan tindakan undang-undang, dia akhirnya menarik balik laporan selepas dinasihatkan pihak polis memandangkan pelaku masih muda.
"Katanya suka buat stok puaskan nafsu. Sudah lama buat kerja macam ni katanya. Ikutkan saya nak si perilaku ke dalam. Suka-suka rakam perempuan. Buat stok seks puas sendiri kat rumah.
"Takut lepas ni berani meraba pula sebab terlampau banyak video orang perempuan yang dirakam sekitar malam tadi. Mangsa tak perasan. Masalahnya siap zoom bahagian badan," kata wanita itu.
Pada penghujung hantaran tersebut, wanita ini turut menitipkan nasihat kepada orang ramai terutama golongan perempuan supaya lebih berhati-hati.
"Pakai purdah pun dah tak selamat. Kalau dah fetish tu fetish juga tak kiralah dah bertutup penuh.
"Pesanan untuk anak muda, bayangkan kalau mak, kakak awak yang kena sexual fixation macam ni... apa awak rasa? Muda lagi. Dah buat perangai bukan -bukan. Fikir guna otak laju sikit," jelasnya lagi.
Sebagai makluman, tindakan mengambil gambar atau video seseorang tanpa izin adalah satu pelanggaran privasi dan boleh dianggap sebagai kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.
Menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tindakan merakam atau mengedarkan gambar seseorang tanpa kebenaran mereka boleh dikenakan denda atau penjara.