suria

Bella dan 7 geng mengaku salah ugut bunuh, belasah pemuda sampai lunyai... Mahkamah benar ikat jamin

Semua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan memukul seorang pemuda dalam kejadian pada 18 April lalu.

LAPAN individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas empat pertuduhan iaitu melakukan ugutan bunuh, memukul, mengurung dan mendatangkan kecederaan ke atas seorang pemuda pada 18 April lalu.

Tertuduh, Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman atau Bella, 22, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, manakala tujuh rakan lelakinya turut mengaku bersalah atas empat pertuduhan selepas kertas pendakwaan dikemukakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Tujuh lelaki yang terlibat dalam kes ini ialah Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal, 25; Ahmad Rushdi Jumadi, 23; Muhammad Nur Shafiq Abdullah, 25; Muhammad Haikal Zulkarnain, 19; Mohamad Amierul Hakim Shamsuri, 23; Mohamad Danish Hakim Kamaruddin, 20 dan Syamsul Hamiziey Saiful Razali, 19.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa secara bersama dengan dua lagi individu yang masih bebas  melakukan ugutan bunuh, pemerasan dan mengurung secara salah serta mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan, 22.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506, Seksyen 384, Seksyen 323 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif, dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam.

Semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norfarahin Mohd Yazid dan T Nadarajan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Namun Norfarahin merayu supaya mahkamah mengenakan jamin yang lebih rendah terhadap anak guamnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM16,000 terhadap tujuh lelaki, manakala Bella dikenakan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Jun depan untuk bacaan fakta kes dan hukuman.

Pada Jumaat, 18 April lalu tular video menunjukkan seorang lelaki longlai selepas dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki yang mencetuskan kemarahan ramai.

Perbuatan itu dikatakan dilakukan di sebuah rumah di Blok J, Pangsapuri Daisi, Jalan Bunga Daisi, Plentong, Masai, antara pukul 10 malam.

Artikel Lain