SETIAP ibu bapa pastinya berbangga apabila anak mereka meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Situasi menggembirakan itu turut dirasai oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek apabila anak perempuannya meraih keputusan 8A dalam SPM 2024.
Menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, Fadhlina menitipkan ucapan tahniah buat puterinya yang dikenali sebagai Sarah atas pencapaian membanggakan itu.
"Untuk Sarah, terima kasih atas keputusan cemerlang ini. Mama dan baba pulangkan kepada Sarah untuk pilihan langkah selanjutnya.
"Nampak gaya jika tidak Pengajian Islam atau Syariah pastilah Undang-Undang. Macam mama dan baba juga," tulis Fadhlina.
Dalam hantaran sama, Fadhlina turut berterima kasih kepada insan-insan penting yang bersama dalam perjuangan anaknya selama ini.
"Terima kasih buat semua guru, asatizah yang mendidik Sarah. Begitu juga sahabat -sahabat karib Sarah yang sentiasa bersama Sarah dalam perjalanan ilmu ini.
Fadhlina serahkan kepada anaknya untuk pilih jurusan pengajian.
"Begitu juga ahli keluarga kami yang sentiasa mendoakan Sarah. Stand tall, fly high girl! We love you, we make doa for you," tulisnya lagi.
Fadhlina turut menitipkan pesan kepada golongan ibu bapa agar sentiasa menerima apa sahaja keputusan peperiksaan anak-anak mereka dengan hati terbuka.
"Apa pun keputusan anak-anak kita pada hari ini, ucapkan tahniah dan bersyukur. Reda atas keputusan mereka kerana ia adalah usaha anak-anak kita mengikut daya dan kemampuan mereka.
"Teruskan memberi pedoman dan bimbingan agar mereka terus menyambung pendidikan mereka ke peringkat yang tertinggi," kongsinya lagi.
Untuk rekod, seramai 402,956 calon menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.
Keputusan SPM 2024 yang diumumkan pada Khamis menyaksikan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.49, berbanding 4.60 pada 2023.