REMAJA lelaki berusia 17 tahun yang ditahan berhubung kes bunuh ibu dan abang kandungnya dalam kejadian di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, Melaka, direman selama tujuh hari.
Tahanan reman suspek yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, bermula Jumaat.
Perintah reman sehingga 19 Jun ini dikeluarkan Majistret N. Sivashangari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada Khamis, polis mengesahkan remaja berkenaan sebagai suspek utama kes pembunuhan ahli keluarganya sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Calon SPM suspek kes bunuh... Dendam ibu, abang paksa belajar dapat keputusan cemerlang
ARTIKEL BERKAITAN: Guru, anak lelaki ditemukan maut di ruang tamu dipercayai dibunuh
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati suspek menikam ibunya yang juga seorang guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berusia 51 tahun ketika tidur.
Dia kemudian menyerang abang sulungnya selepas pemuda berusia 21 tahun itu cuba membantu ibu mereka.
Kedua-dua anak beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Tragedi yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi itu turut menyaksikan seorang lagi adik lelaki suspek berusia 13 tahun yang cedera parah selepas turut ditikam.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Senjata dipercayai digunakan dalam kejadian iaitu pisau lipat sepanjang 20 sentimeter ditemukan dalam beg sekolah milik suspek.
Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa dendam terhadap ibu dan abang yang didakwa sering memarahi dan memaksanya belajar sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM.